Silat Lincah Penang

Berita

Senaman Jurus Lincah


Unit UPPSL ini telah ditubuhkan bagi menjalankan kajian serta projek pembangunan berteraskan persilatan , pendidikan dan ilmiah. Antara penyelidikan yang dijalankan keatas Senaman Jurus Lincah ia mampu memberikan satu kaedah baru dalam pengurangan penagihan. Dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Malaysia , teknik senaman dan faedah pengamalan senaman mampu memberikan kekuatan rohani kepada penagih untuk menjauhkan diri dari penyalahgunaan dadah. Ia juga dapat menyelamatkan generasi muda pada masa kini dari belengu yang tidak bermoral seperti gejala sosial dan dadah. Seni Silat Lincah Malaysia melalui Unit Penyelidikan Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia UPPSL, telah menghasilkan satu kaedah senaman Jurus Lincah yang mampu membanteras kadar penagihan.



Gambar : Ketua Jurulatih Senam Lincah . Cikgu Syafie Omar menunjukkan salah satu modul senam. (Dipetik daripada Portal Silat Lincah Malaysia)




Festival Seni Beladiri Dunia, Bandaraya Chungju, Korea Selatan


Festival Seni Beladiri Dunia merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Korea Selatan. Pada tahun 2000, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia telah dijemput menyertai festival ini. Kejayaan PSSLM mengembangkan Silat Melayu di luar Negara amat membanggakan, satu-satunya silat yang diundang untuk mengambil bahagian di dalam Festival Seni Beladiri Dunia tiap-tiap tahun yang turut disertai oleh 62 jenis Seni Beladiri daripada 32 buah negara dari seluruh dunia, berjaya menjadikan silat sebagai jambatan budaya yang mengenalkan bahasa dan budaya orang melayu kepada dunia luar.

Penyertaan kali pertama membuahkan hasil yang cukup membanggakan rakyat Malaysia seluruhnya apabila PSSLM dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan selepas memenangi kategori persembahan dan pakaian terbaik disamping pemilihan rakyat Chungju City yang mengundi PSSLM sebagai satu pasukan yang mempunyai disiplin terbaik yang mana hadiah tersebut telah disampaikan oleh Datuk Bandar Chungju sendiri.

Pada tahun 2002 , persetujuan dicapai oleh negara-negara yang menyertai festival ini untuk menubuhan Kesatuan Seni Beladiri Dunia atau singkatannya WoMOU. Malah anak melayu juga diberi kepercayaan oleh rakan anggota WoMOU sebagai Naib Presiden di dalam badan seni beladiri dunia itu. Tidak cukup di situ, lebih membanggakan pada tahun 2005 apabila wakil PSSLM, Haji Megat Zulkarnain Dato’ Haji Omardin sekali lagi mendapat mandat dari semua negara anggota WoMOU untuk dikekalkan jawatan Naib Presiden WoMAU. Ini sudah menaikkan nama Malaysia di dunia seni beladiri antarabangsa.

Aktiviti yang di sertai tiap-tiap tahun ini bertujuan mengembangkan Seni Silat Lincah keserata dunia. Setelah diundang 5 tahun berturut-turut, ternyata perkhabaran yang diterima adalah sangat baik kerana World Martial Arts Festival Committee telah mengisytiharkan Malaysia merupakan antara 6 "Rakan Tetap" yang akan dijemput menyertai festival ini selagi ianya diadakan.







Penubuhan Fakulti Silat


Idea oleh Dato' Haji Omardin ini timbul setelah memikirkan kepentingan warisan unggul melayu ini iaitu silat harus di jaga kewarisanannya. Malah ilmu silat hari ini menuntut penyampaian yang lebih baik dan bukan sebagai bahan lisan sahaja untuk dipelajari. Ini sekali gus menjadikan ilmu silat wujud dari aspek akademik yang akan dipelajari di universiti-universiti secara formal dan diiktiraf malah ianya juga akan menjadi pusat rujukan oleh pengkaji-pengkaji silat dari dalam mahupun luar negara. Malah idea ini telahpun sampai ke realitinya.



Gambar : Rombonga SILAT LINCAH Bersama TYT GABENOR PULAU PINANG Semasa Pembentangan Kertas Kerja FAKULTI PERSILATAN DI USM, PULAU PINANG (dipetik daripada Protal Silat Lincah MAlaysia)




Silat Lincah Dan RakanCop


Bagi program ini, Silat Lincah juga mempunyai satu Unit Khas yang telah mendaftar sebagai RakanCop. Unit ini akan bergerak sebagai badan pemantau serta mempastikan kadar dan masalah jenayah serta masalah yang berkaitan dapat dikurangkan.




Kempen Derma Darah


Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia sedang giat mengadakan kempen derma darah dikalangan ahli PSSLM seluruh Malaysia. Pelancaran kempen ini peringkat kebangsaan pada 4 Mei 2006 di Pulau Pinang telah merebak keseluruh negara dimulai Negeri Selangor, Pahang dan lain-lain negeri seluruh Malaysia.




Silat Lincah Benci Dadah


Sebagai sebuah badan bukan kerajaan, Silat Lincah menawarkan diri dan tampil untuk membantu secara lebih efektif lagi walaupun sebelum ini ianya merupakan aktiviti berterusan pertubuhan ini. Malah lawatan pertama ke Pusat Serenti Bukit Mertajam pada 6 April 2006 telah menguatkan lagi azam Silat Lincah membantu golongan ini pulih sepenuhnya. Lawatan peringkat permulaan yang julung kali diadakan itu antaranya bertujuan untuk berinteraksi dan berbincang dengan pentadbiran dan penghuninya. Lebih membanggakan dalam lawatan tersebut secara rasminya Pusat Serenti Bukit Mertajam, Pulau Pinang mencatat sejarah apabila menjadi pusat pertama membuka gelanggang Silat Lincah.

PSSLM sedar bahawa perlu ada sebuah organisasi berteraskan jatidiri yang kuat khusus aspek kekuatan dalaman untuk membantu golongan seperti ini, maka dengan demikian sudah pasti Silat Lincah merupakan medium terbaik untuk mereka.

PSSLM sedia memberi khidmat kepakaran untuk membimbing penagih dadah di pusat serenti bagi mengelakkan mereka kembali ke tabiat itu melalui modul latihan khas untuk menguatkan lagi aspek jasmani, fizikal dan kerohanian sekaligus meningkatkan keyakinan diri. PSSLM juga berupaya melatih penagih bagi mengembalikan keyakinan dengan meletakkan sasaran mereka tidak menagih semula selepas keluar dari pusat serenti. Oleh yang demikian PSSLM akan menyalurkan modul ini kepada kementerian yang berkaitan dan dalam masa yang sama bersedia pada bila-bila masa untuk membentangkan modul tersebut kepada Yang Amat Dikasihi ketiga-tiga Ulul Amri Silat Lincah.

Sebagai langkah yang berterusan juga, setelah mereka mengikuti modul semasa di dalam pusat serenti, PSSLM juga rela membantu dengan mengambil mereka menyertai Akademi PSSLM apabila keluar dari pusat ini dan berusaha menyerap mereka kembali kepangkuan masyarakat melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, berusaha mendapatkan pekerjaan dan yang lebih penting untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat terhadap golongan ini.

PSSLM akan membantu mereka tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang kerana inilah teras perjuangan Silat Lincah yang mahukan segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat yang sebaiknya dari kehebatan ilmu Silat Lincah ini kerana Ahli-Ahli Silat Lincah juga membenci dadah, sekali gus membuktikan bahawa PSSLM berupaya membantu mereka yang terjebak dalam najis berbahaya itu.

Silat Lincah akan terus memberi khidmat dan membantu supaya segala rancangan kerajaan akan berjaya. Usaha ini sebagai merealisasikan hasrat murni PSSLM dan ini amat jelas apabila PSSLM dapat bekerjasama membantu kerajaan memerangi habis-habisan najis dadah dan menawarkan kepakaran memulihkan golongan penagih dengan harapan ianya dapat menjadikan organisasi besar ini berpeluang dan akan mendapat manfaat dalam penyertaan kegiataannya di dalam masyarakat. Silat Lincah amat berharap segala sokongan dan dorongan dapat diberikan kepada PSSLM dalam membentuk semula insan-insan ini agar dapat menemui semula kehidupan terbaik di dunia ini. Atas dasar demikianlah hari ini Silat Lincah telah melancarkan Kempen Silat Lincah Benci Dadah peringkat kebangsaan pada 27 Jun 2006 yang lalu.

Namun apa yang lebih membanggakan, walaupun Silat Lincah menghadapi pahit jerih, kepayahan dan pelbagai rintangan dalam mengembangkan budaya melayu ini namun Mahaguru Omardin telah berjaya menjadi seorang pemimpin yang dapat mempertahankan sebuah organisasi begitu besar selama 43 tahun tanpa berpecah belah dan hasil daripada itu maka hari ini Silat Lincah merupakan satu seni yang menjadi jambatan budaya kepada Negara luar dan bangsa asing di dalam memperkenalkan budaya utama orang melayu apatah lagi s ejarah turut dicipta dengan menganugerahkan persalinan tertinggi kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas sebagai Ulul Amri I PSSLM. Penganugerahan ini sekali gus menyingkap sejarah lalu bahawa Silat Lincah pernah mendapat perkenan dan sokongan dari Raja-Raja Melayu seperti KDYMM Sultan Pahang, KDYMM Sultan Kedah, KDYMM Sultan Selangor dan KDYMM Sultan Perak.

Sejarah demi sejarah terus dicipta dan tercatit di dalam diari ulung Silat Lincah apabila kejayaan beliau membawa pemimpin-pemimpin Negara iaitu YAB. Dato' Seri Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi sebagai Ulul Amri II dan YAB. Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak sebagai Ulul Amri III. Inilah perjuangan Mahaguru Dato' Haji Omardin yang bukan sahaja hanya bersilat tetapi menjadikan Silat Melayu penebus maruah bangsanya bagi membina tamadun Melayu yang unggul ini di dunia antarabangsa.



Gambar : PENGANUGERAHAN ULUL AMRI III PSSLM