Silat Lincah Penang

Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia(PSSLM)

Pengasas:
Y.M MAHAGURU MASTER DATO' HAJI OMARDIN B. MAUJU

Nombor Pendaftaran Pertubuhan:
873/69

Tarikh Lulus Pendaftaran Pertubuhan:
9 HB JANUARI 1971

Alamat Pertubuhan:
NO. 5, JALAN PUAH OFF JALAN GOMBAK, 53000 KUALA LUMPUR

Jumlah Keahlian:
830,000 ORANG AHLI (mengikut jumlah pendaftaran ahli dari tahun 1969 sehingga sekarang)

Cawangan Dalam Negara:
PULAU PINANG, SELANGOR, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, KEDAH, PERLIS, PERAK, N.SEMBILAN, JOHOR, SARAWAK, MELAKA, SABAH, PAHANG, KELANTAN

Cawangan Luar Negara:
BELGIUM, ENGLAND, NEW ZEALAND, BELANDA, PERANCIS, ARAB SAUDI, JEPUN, HONG KONG, MADAGASCAR, KOREA SELATAN




Sejarah Ringkas Silat Lincah


YM. Dato' Haji Omardin bin Mauju, Mahaguru dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) telah dilahirkan pada 29hb Mei 1941 di Puchong Selangor. Bermula dengan 5 orang anak murid, beliau mengembangkan Silat Lincah pada tahun 1963 di gelanggang pertama di Kampung Puah sehinggalah mempunyai keahlian seramai 800 000 orang di Malaysia dan 30 000 orang di luar Negara. Pertubuhan yang diiktiraf mempunyai keahlian teramai dan terunggul dan telah tercatat di dalam Malaysia Book of Record edisi pertama ini telah sah didaftarkan pada tahun 1969 dan berkembang ke serata dunia.

Dato' Haji Omardin telah membawa Silat Lincah terkenal sehingga mencapai banyak kejayaan yang berjaya menaikkan maruah dan martabat bangsa melayu. Antara kejayaan tersebut seperti menubuhkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Federasi Silat Antarabangsa (PERSILAT), mengadakan demonstrasi peringkat dunia secara besar-besaran pada 1976 dan berjaya menyatukan Seni Beladiri yang ada di Malaysia dibawah Majlis Seni Mempertahankan Diri Negara (MARCIL). Terkini, hasil usaha Dato' Haji Omaridn maka hari ini wakil daripada Silat Lincah iaitu Haji Megat Zulkarnain bin Dato' Haji Omardin berjaya memenangi kerusi Naib Presiden Kesatuan Beladiri Dunia (WoMOU) yang berpusat di Korea Selatan. Selain itu, PSSLM berjaya mengadakan perhimpunan-perhimpunan besar dan pada perhimpunan di Pulau Pinang 1975, ianya telah menarik seramai 100 000 penonton menyaksikan perhimpunan dan demonstrasi kebatinan.

Namun apa yang lebih membanggakan, walaupun beliau menghadapi pahit jerih, kepayahan dan pelbagai rintangan dalam mengembangkan budaya melayu ini namun beliau telah berjaya menjadi seorang pemimpin yang dapat mempertahankan sebuah organisasi begitu besar selama 43 tahun tanpa berpecah belah dan hasil daripada itu maka hari ini Silat Lincah merupakan satu seni yang menjadi jambatan budaya kepada Negara luar dan bangsa asing di dalam memperkenalkan budaya utama orang melayu apatah lagi kejayaan beliau membawa pemimpin-pemimpin Negara iaitu Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas sebagai Ulul Amri I, YAB. Dato' Seri Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi sebagai Ulul Amri II dan YAB. Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak sebagai Ulul Amri III.

Silat Lincah adalah satu aliran perguruan seni silat tempur di Malaysia dengan nama PERTUBUHAN SENI SILAT LINCAH MALAYSIA (PSSLM). Sesuai sebagai pertubuhan silat yang bukan sahaja mengutamakan gerak langkah dan semangat tempur "Hang Jebat", ahli-ahli juga disisipkan amalan-amalan diri sebagai menguatkan pendirian ahlinya. Pertubuhan yang dipimpin oleh YM. MAHAGURU DATO' HAJI OMARDIN BIN MAUJU ini yang bergerak aktif sejak didaftarkan pada tahun 1969, bukan sahaja dikenali di Malaysia sebaliknya berjaya mengembangkan sayap ke beberapa negara luar termasuk England, Belgium, New Zealand, Holland, Perancis, Madagascar dan yang terbaru di Korea Selatan, sehingga kini mencapai 30,000 keahlian di luar negara. Dengan keunggulan kepimpinan Dato' Haji Omardin, kini PSSLM sudah pun mempunyai keanggotaannya seramai lebih dari 800 000 orang ahli di pelusuk tanah air dan tercatat dalam buku Malaysia Book Of Record terbitan tahun 1998 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohammad pada Disember 1998, sebagai sebuah pertubuhan ilmu mempertahankan diri yang mempunyai "Keanggotaan Terbanyak dan Terunggul". Untuk mencipta sejarah kegemilangan Silat Lincah ini bukannya satu usaha yang mudah.

Silat Lincah terus mencipta sejarah. Sejak tahun 1963, dengan lima orang anak muridnya yang asal, Mahaguru Omardin membuka beberapa gelanggang di sekitar Kampung Puah, Selangor dan sekitar Wilayah Persekutuan dan dari masa ke semasa, Silat Lincah terus berkembang di seluruh pelusuk tanah air sehinggalah pada tahun 1969, perguruan Silat Lincah yang sebelumnya di kenali dengan nama "Silat Tarah" didaftarkan di Negeri Selangor dengan menjadi sebuah pertubuhan ilmu mempertahankan diri yang sah atas nama "Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia".

Mahaguru Haji Omardin juga mengadakan beberapa siri persembahan Silat Lincah di luar negara termasuk di Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Hong Kong , Jepun, Korea Selatan, Pakistan, India dan Mekah.

Walaupun Silat Lincah telah mencipta nama, jiwanya tidak pernah merasa puas. Agenda perjuangannya tidak pernah ada penghujungnya, apatah lagi melihat ratusan perguruan silat yang bertaburan di seluruh pelusuk tanah air umpama "Hidup Segan Mati Tak Mahu", terbiar seperti "Melukut Di Tepi Gantang", tidak boleh ditoleh dan tidak disilau tanpa pembelaan.

Atas kesedaran ini, pada 1hb Mac 1975, dengan usaha dan perbelanjaan sendiri, satu pertemuan dengan semua guru-guru di seluruh pelusuk tanah air telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur serta disaksikan oleh beberapa perwakilan dari Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Brunei. Dalam pertemuan ini telah tercipta satu lagi sejarah gemilang perjuangan Omardin di mana badan-badan silat perlu berada dalam sebuah badan gabungan di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. Malah dengan idea dan susah payahnya juga, akhirnya terbinalah Majlis Silat Negara yang kini dikenali sebagai Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), yang mana menjadi tunjang kepada semua pergerakan seni silat di Malaysia.

Disebalik kejayaannya itu, Mahaguru Omardin melalui idea dan pandangannya berjaya menarik beberapa buah badan gabungan silat untuk bergabung di Peringkat Rantau Asean. Tidak cukup dengan itu, usaha beliau untuk menubuhkan gabungan silat diperingkat antarabangsa juga turut menjadi kenyataan dengan tertubuhnya Federasi Silat Antarabangsa yang kini dikenali Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT), bertanggungjawab bukan sahaja terhadap badan-badan silat di Negara Asean malah badan-badan silat di seluruh dunia.

Usaha Dato' Haji Omardin bukan setakat itu sahaja malah dengan menggunakan perbelanjaan sendiri yang begitu banyak, kemuncak kejayaan beliau adalah menghimpunkan Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri dari seluruh dunia melalui Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri Peringkat Dunia Pertama yang diadakan pada 04hb Disember 1976 bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur, dirasmikan oleh DYMM Sultan Haji Ahmad Shah, Timbalan Yang DiPertuan Agung pada ketika itu, telah disertai oleh 42 pesilat dari negara-negara Asean, Timur Jauh dan Timur Tengah.

Silat Lincah terus menggegarkan dunia pesilatan melayu ketika itu dengan sekali lagi mencipta nama apabila Mahaguru Haji Omardin dan ratusan anak muridnya terbabit menjayakan, Filem Dokumentari "ONE STEP TO THE BEYOND" atau "SELANGKAH KE ALAM BATIN" yang bukan sahaja ditayangkan mengenai Dunia Silat Melayu, malah kegemilangan Silat Lincah akhirnya mengangkat Omardin sebagai Pejuang Silat Melayu.

Amalan yang diijazahkan kepada ahli-ahli Lincah di sempurnakan sendiri oleh Mahaguru Haji Omardin berdasarkan keistimewaan dan kesanggupan dari segi persilatan dan perjuangan setiap ahli. Amalan ini diperakui tidak akan membawa sebarang penyelewengan dari apa-apa aspek.

Pertubuhan ini juga mewajibkan setiap ahlinya mempunyai disiplin yang tinggi di semua peringkat sama ada ahli biasa, jurulatih atau pegawai-pegawainya. Antara saling menghormati satu sama lain, Mahaguru dan guru-gurunya dan tidak menderhaka kepada kedua ibu bapa.

Soal keagamaan juga di titik beratkan dalam PSSLM. Ahli-ahli sentiasa dinasihatkan mengingati Allah dengan mengerjakan yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Justeru itu, ahli-ahli dilatih bersopan santun kerana itu adalah amalan Silat Lincah yang paling utama.

Berdasarkan semua kepercayaan ini, Silat Lincah akan terus menjadi pertubuhan silat yang dihormati di semua peringkat dan dalam masa yang sama ia dapat memainkan pelbagai peranan menjayakan aktiviti persilatan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa.

PSSLM berjaya mengadakan perhimpunan terbesar pada perhimpunan di Pulau Pinang 1975, ianya telah menarik seramai 100 000 penonton menyaksikan perhimpunan dan demonstrasi kebatinan yang amat mendebarkan.

Bagi merealisasikan peranan yang boleh dimainkan oleh ahli-ahli seni beladiri di dalam mempastikan kedaulatan dan kemakmuran negara dipertahankan maka satu pertemuan yang amat bersejarah telah diadakan pada 10hb Mac 2001 bersama YAB. Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada ketika itu di Seri Perdana, Putrajaya, sewaktu negara didesas-desuskan mengalami krisis diantara kaum. Pertemuan yang diusahakan dan diketuai oleh Dato' Haji Omardin bersama-sama dengan 53 orang guru-guru Seni Beladiri Malaysia telah menyatakan ikrar taat setia bersama kepimpinan negara seperti yang terkandung didalam Memorandum yang telah dipersetujui bersama dan seterusnya diserahkan kepada YAB. Perdana Menteri. Ianya bertujuan menunjukkan kesetiaan dan mahu mengekalkan perpaduan antara kaum yang terjalin sekian lama serta mahu menghapuskan anasir-anasir yang tidak baik dari terus menghantui masyarakat ketika itu. Ternyata usaha Mahaguru Omardin itu sesuatu yang dinantikan oleh pemimpin kerajaan dan memang begitu diharapkan untuk mencapai matlamat negara yang aman dan makmur.





Silat Lincah Ke Peta Dunia


Cita-cita besar Mahaguru Omardin yang ingin melihat silat berkembang di setiap pelusuk dunia akhirnya tercapai dimana pada tahun 1987, 2 anak muda Eropah iaitu Glenn Peter Lobo dan Chirstoper Bogerts telah diperkenalkan dengan Silat Lincah di Kuala Lumpur. Bertitik tolak dari itu, bermulalah sejarah Silat Lincah di England dan Belgium seterusnya berjaya mengembangkan sayap ke beberapa negara luar termasuk New Zealand, Holland, Perancis, Madagascar dan yang terbaru di Korea Selatan. Bagi Mahaguru Omardin, Silat Lincah ke Eropah bukan semata-mata kerana silat tetapi ia merupakan jambatan budaya dan watikah penebusan maruah orang Melayu yang pernah dihina orang barat tidak lama dulu. Ini terbukti ketika Majlis Penyampaian Ijazah Peringkat Dunia Kali Pertama di Kuala Selangor pada Mei 1998 yang dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Seri Haji Abu Hassan Bin Haji Omar di mana cucu cicit penjajah Inggeris yang menjadi jurulatih Silat Lincah menyembah dan mencium tangan para pemimpin Melayu. Bukan itu saja, proses penerapan budaya bangsa Melayu yang unggul ini juga telah diterap ketika mereka mengajar anak-anak Lincah di luar sana dengan menggunakan Bahasa Melayu terutama sekali tentang asas, buah, pukulan dan lain-lain.




Silat Lincah Hari Ini


Hari ini, setelah 43 tahun Silat Lincah di pimpin oleh Mahaguru Haji Omar Din, PSSLM semakin utuh sebagai pertubuhan yang diiktiraf oleh kerajaan dan pihak lain. Kewujudan beberapa organisasi memantapkan lagi pertubuhan ini yang terus dipimpin oleh mereka yang berkaliber serta berwawasan memajukan seni silat tanah air.

PSSLM terus membuka keahlian kepada orang ramai dan selaras pindaan perlembagaan yang baru. Kini mereka berusia 7 tahun ke atas boleh menjadi ahli pertubuhan ini. Keahlian kini terdiri dari pelbagai peringkat sama ada dikalangan orang awam, polis, tentera, pegawai dan kakitangan kerajaan, pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi termasuk dari Sabah dan Sarawak. Pengiktirafan ahli bergantung kepada kelayakan mereka menguasai amalan Silat Lincah sama ada sebagai ahli biasa mahupun jurulatih.

Terdahulu, Perhimpunan dan Penyampaian Ijazah PSSLM 2004 yang dirasmikan oleh YAB. Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. Lebih membanggakan, inilah kali pertama PSSLM berjaya mengumpulkan lebih dari 15 orang Menteri di peringkat Persekutuan dan Negeri yang sekaligus menunjukkan hubungan masyarakat bersama pemimpin dapat dijalin dengan begitu baik sekali.

Tidak cukup dengan penubuhan PESAKA dan PERSILAT, Mahaguru Omardin melalui usahanya yang berterusan, pada 4 Februari 2005 telah berjaya menyatukan Seni Beladiri yang ada di Malaysia dibawah Majlis Seni Mempertahankan Diri Negara (MARCIL).





Silat Lincah Kepunyaan Rakyat


Sejak penubuhannya lagi Silat Lincah telah memikir akan kepentingan mesyarakat terutamanya golongan melayu ketika itu. Bagaimanapun, perubahan keadaan yang menuntut perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum telah menjadikan Silat Lincah sebagai medium untuk menyatukan perpaduan itu. Malah Silat Lincah telah membuka keahliannya kepada semua lapisan tidak kira bangsa, agama, keturunan dan warna kulit. Inilah kejayaan yang paling besar dicapai oleh pertubuhan ini di dalam membantu kerajaan menyatupadukan golongan berbilang kaum ini. Malah jolokan "Silat Lincah Pencetus Kekuatan Nasional" oleh pimpinan negara disifatkan sebagai satu pengiktirafan yang amat besar sekali sekaligus memacu semangat untuk bersatu.

Sesungguhnya PSSLM amat sedar dan memikir akan kepentingan serta tanggungjawab sosial, kebajikan dan kemasyarakatan kepada rakyat selaras menyokong kempen yang dijalankan oleh kerajaan serta menjadikan Silat Lincah bukan sahaja untuk ahli-ahlinya malah ianya menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat Malaysia.

Hari ini Silat Lincah tampil dengan idea-idea demi menjaga warisan melayu yang unggul ini dan juga pembangunan modal insan seperti yang ditegaskan oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia.